Seperti yang semua sudah maklum, pengeluar automotif tersohor tempatan, Proton Holdings Bhd, bakal melancarkan satu model salinan Mitsubishi iaitu model Lancer. Namun begitu, Proton dijangka tidak meneruskan legasi nama ‘Waja’ walaupun digembar-gemburkan yang model salinan Lancer ini adalah model gantian Waja.
Ini dibuktikan dengan poster peraduan menamakan sedan baru Proton yang beredar di internet sejak beberapa bulan lalu. Walaupun peraduan ini terbuka kepada kakitangan Proton sahaja, kita sudah pasti yang nama sedan baru mereka ialah bukan Waja ataupun nama lainnya Impian di pasaran luar negara.
Desas-desus mengatakan model salinan Lancer ini bakal dinamakan ‘INSPIRA’ kerana ianya telah hangat diperkatakan dan tambahan lagi sudah ada kelab ‘INSPIRA’ dalam facebook!
Ini tidak mustahil bagaimana Perodua Alza yang belum dilancarkan sudah diketahui umum bahawa MPV terbaru Perodua itu dinamakan Alza. Satu sumber juga dari Proton bahawa model ini akan dilancarkan pada hujung bulan 11 betul-betul sebelum Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang bermula pada 3 Disember nanti.
Komen aku: Biasalah bila pelancaran dah dekat, satu-satu keluar informasi mengenai model baru dari gambar ke nama. Pada tahap ini pihak pengurusan pun mungkin dah tak tegas sangat dan mungkin boleh jadikan sebagai penaik semangat kepada bakal pembeli untuk serbu bilik pameran apabila model ini dilancarkan nanti. INSPIRA, OK bagi aku. Apa pula komen anda?