Seperti yang kita sedia maklum, model Myvi keluaran Perodua adalah salinan model Daihatsu Boon keluaran Daihatsu Motor Corporation, pengeluar kereta kecil Jepun. Model ini juga disalin oleh Toyota dengan panggilan Passo yang mempunyai spec lebih tinggi daripada Boon sejajar dengan status Toyota.
Generasi kedua model ini telahpun dilancarkan di Jepun. Seperti gambar di bawah kita dapat lihat perbezaan Passo dan Boon seperti lampu projektor, lampu kabus dan lampu signal pada cermin pandang sisi.
Rekaan dalamannya pula tiada perbezaan kecuali pilihan warna yang berlainan antara Passo dan Boon. Meter kelajuan dan tuil gear pasangan steering column mengekalkan rekaan model lama namun keseluruhan rekaan panel instrumen mempunyai revolusi baru.
Model ini juga mendapat enjin baru dengan lebih kuasa kuda dan daya kilas serta menggunakan kotak gear CVT untuk lebih penjimatan minyak. Sila teruskan bacaan untuk lihat gambar spy shots dan lebih informasi mengenai model baru Myvi.
Persoalannya, sejauh manakah model Myvi baru bakal mendapat ‘pemindahan’ spesifikasi dari kedua-dua model abangnya itu? Ataupun Perodua akan lebih agresif untuk mereka semula untuk memenuhi kehendak pasaran tempatan? Adakah Perodua akan menggunakan kotak gear CVT untuk Myvi baru ini untuk bersaing dengan Saga model dipertingkat yang dikatakan bakal menggunakan CVT?
Baru-baru ini tersebar beberapa gambar yang dipercayai Myvi baru di internet. Jika kita lihat, walaupun kurang jelas, dari pandangan depan nampak lebih ‘wide body’ dan lampu belakang dilihat mempunyai LED yang lebih tirus dan panjang ke atas. Pintu belakang juga dilihat mempunyai lebih banyak otot untuk kelihatan lebih kukuh. Benarkah ini Myvi baru? Hanya Perodua sahaja yang tahu.