SHAH ALAM: Proton melancarkan model sedan terbarunya, Inspira pada Khamis.
Harga di pasaran bagi model terbaru berkenaan antara RM79,888 hingga RM95,000 dan pelancarannya sepenuhnya dijadualkan pada 10 November ini.
Inspira adalah model terbaik hasil perkongsian bijak Proton dan Mitsubishi Motors Corp. (MMC).
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, model terbaru itu dijangka dapat dijual sebanyak 1,600 unit sebulan.
Beliau yakin, Inspira mampu menguasai pasaran kereta segmen C dengan penambahbaikan teknologi Lotus oleh jurutera Proton.
“Edisi terkini ini adalah produk berkualiti kami yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Dengan kombinasi DNA Lotus, kami percaya ia adalah pilihan tepat dengan harga yang bersesuaian,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Proton Inspira di sini.
Orang ramai boleh menempah model sedan berkenaan di semua wakil penjual Proton mulai hari ini dengan bayaran RM1,000.
Didatangkan dengan dua varian enjin iaitu 1.8 liter dan 2.0 liter berteknologi Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control (MIVEC) hasil kerjasama bijak dengan MMC.
Turut dilengkapi dengan CVT (Continuously Variable Transmission) dan mod penukaran gear secara manual enam kelajuan dengan sistem transmisi automatik INVECS-III (Intelligent & Innovative Vehicle Electric Control System).
Pada majlis yang sama Syed Zainal Abidin menyampaikan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pemenang peraduan menamakan model berkenaan iaitu Saiful Yazan Nasir dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik Proton.
Sebelum ini, Proton menganjurkan peraduan berkenaan di kalangan kakitangan syarikat yang berjaya mengumpulkan lebih 2,700 nama.
Mstar
Komen aku: Jika dilihat dari segi harga dan spesifikasi yang bakal dibawa oleh Inspira, ianya bakal menjadi belian terbaik untuk model bersesaran 1.8liter dan 2.0liter. Ianya juga dengan teknologi Mitsubishi iaitu enjin MIVEC dan kotak gear automatik CVT yang setanding dengan pengeluar Jepun yang lain seperti Toyota dan Honda.
Walaupun berada dalam segmen C, tetapi harganya setara dengan kereta segmen B yang popular iaitu Toyota Vios dan Honda City. Dari atas kertas, ianya bakal menggugat kedudukan Vios, City mahupun Nissan Latio untuk segmen B dan mungkin juga segmen C yang lain seperti Nissan Sylphy 2.0l dan Honda Civic 1.8L.
Namun begitu, walaupun rekaan luarannya lebih menarik dan garang, interiornya dikatakan kurang luas kerana chasisnya mempunyai tulang tengah yang agak menyempitkan penumpang belakang berbanding Vios atau Civic yang mempunyai lantai yang rata. Ada juga peminat yang meminati lampu membelok pada cermin pandang sisi dan juga cermin sisi boleh lipat secara automatik dan ciri-ciri ini bakal tiada pada Inspira jika diambil kira model Lancer. Apa-apa pun pasti kereta ini bakal menambat hati rakyat Malaysia dan mengembalikan imej Proton sebagai pengeluar kenderaan yang mampu milik dan berkualiti.