Honda Motor Corp, pengeluar kereta nombor 2 di Jepun telah mempamerkan model konsep CR-Z berenjin 1.5liter dengan turbocharge dan hibrid pada pameran SEMA di Las Vegas, Amerika Syarikat. Pameran SEMA atau Specialty Equipment Manufacturing Association diadakan setahun sekali bukanlah seperti pameran motor antarabangsa yang lain tetapi untuk menghadirinya memerlukan jemputan ekslusif dan tertentu sahaja.
Menurut Honda, semua kereta CR-Z konsep yang dipamerkan bukanlah untuk tujuan jualan namun kita dapat menghidu bahawa Honda bakal kembali dengan model Type R turbocharge pada masa yang terdekat. Ini kerana Honda baru-baru ini mengumumkan untuk menarik balik jualan model Type R di Eropah kerana peraturan emisi baru. Jika dilihat, kebanyakan pengeluar Eropah menggunakan enjin turbocharged bersesaran kecil ataupun diesel untuk mematuhi peraturan emisi tersebut.
Enjin turbocharged tersebut mempunyai kuasa 200hp dan 237Nm tork dari enjin standardnya yang hanya menghasilkan 122hp dan 173Nm tork. Enjin bersesaran kecil menjadi trend baru di Eropah namun ianya tidak mengurangkan kuasa kuda dan daya pecutan seperti enjin Tsi dan Prince.