Setelah hampir seminggu berlalu barulah saya berkesempatan untuk berkunjung ke pameran automotif paling berprestij di Malaysia iaitu pameran motor antarabangsa Kuala Lumpur atau juga dikenali sebagai KLIMS. Ini kerana faktor kerja yang selalu sibuk dan geografi menghalang saya daripada mengunjungi pameran ini lebih awal lagi. Apa yang menarik ialah pihak penganjur mengadakan cabutan bertuah untuk pengunjung yang bertuah di mana hadiah utamanya ialah sebuah Toyota Prius, diikuti oleh 2 buah Proton Saga dan hadiah harian merupakan motosikal skuter.
Ruang pameran Proton merupakan yang terbesar dengan pelbagai kereta konsep hinggalah ke bahagian jualan menemui para pelawat sebaik sahaja masuk ke dalam dewan. Perodua pula disebelah Proton mempamerkan model konsep Bezza. Pengeluar-pengeluar lain berada di dewan yang dikhaskan. Tahun ini nampak suram tanpa kehadiran pengeluar rasmi kenderaan continental seperti Mercedes, BMW, Audi dan sebagainya namun terima kasih kepada Naza group yang membawakan beberapa kereta supercar dan continental ke pameran kali ini.
Walaupun tanpa kehadiran banyak pengeluar yang disebutkan di atas namun pameran kali masih lagi menarik. Begitu ramai pengunjung yang datang sehinggakan susah untuk bergerak apatah lagi untuk mengambil gambar kenderaan. Ada saja orang yang lalu lalang menyebabkan gambar yang diambil tidak cantik. Satu yang perlu diambil perhatian oleh pihak penganjur ialah jarak untuk ke dewan pameran yang terlalu jauh dan sengaja direka berliku-liku (mungkin kebaikannya untuk menyuraikan kesesakan) namun bagi mereka yang sudah berumur pasti susah bagi mereka. Mungkin KLIMS ini sudah tidak sesuai diadakan di PWTC dan sebagai alternatif boleh menggunakan PICC sebagai dewan pameran di masa akan datang.
Selepas ini kami akan bawakan gambar beberapa ruang pameran untuk rujukan anda dan jika anda belum pergi atau tidak dapat pergi bolehlah rujuk blog ini untuk lihat suasan KLIMS ini.