Kereta Proton yang paling berkuasa! Itulah yang boleh diungkapkan mengenai Proton Satria Neo R3 Konsep terbaru dari jenama talaan Proton iaitu Race, Rally and Research atau R3. Masih lagi dengan enjin jenis Campro CPS 1.6L, kuasa 200hp dan daya kilas 250Nm pastinya sukar diperoleh jika talaan untuk enjin NA sahaja. Satria Neo edisi Lotus F1 Racing pun sebelum ini hanya menghasilkan kuasa sekitar 145hp dan 160Nm daya kilas. Sila teruskan bacaan untuk lebih info dan gambar mengenai Satria Neo R3 konsep ini.
Neo R3 konsep ini menggunakan enjin turbocharged Campro CPS yang menjana 200hp dan 250Nm daya kilas iaitu lebih 75hp dan 100Nm daya kilas daripada enjin Campro CPS Normal. Enjin turbo memerlukan komponen yang lebih tahan tekanan jadi Neo R3 turbocharged ini mendapat piston yang di lebih keraskan, camshaft prestasi tinggi, silinder head yang diubahsuai dan beberapa lagi talaan untuk meningkatkan kuasa kuda dan daya kilas.
Interiornya pula penuh dengan kemasan carbon fibre, walaupun mungkin bukan carbon sebenar tetapi cukup untuk menambah racing DNA yang ada pada Neo R3 ini. Panel instrumen telah ditukar kepada digital daripada analog sebelum ini dan head unit menggunakan 2 DIN skrin sesentuh dengan fungsi GPS. Kerusinya pula adalah jenis bucket dibalut kulit daripada Recaro. Menurut pihak R3, Neo ini belum ada rancangan untuk dijual namun jika ianya dijual kepada umum, pasti akan laris dan akan memberi pulangan wang yang baik kepada Syarikat.
Apa pendapat anda mengenai konsep Satria Neo R3 terbaru ini jika dibandingkan dengan Neo R3 yang sedang dijual dan Edis Lotus Racing? Pendapat peribadi saya Neo R3 sekarang masih lagi lebih cantik berbanding model konsep ini tetapi enjin 200hp turbocharged pastinya lebih baik lagi.
Walaupun Satria Neo telah membuktikan kepada dunia dengan chassis terbaik dalam kelasnya di rali yang disertai oleh model ini, tetapi halangan untuk penjualan secara besar-besaran adalah ruang dalamannya yang sempit dan garisan bumbung yang terlalu rendah. Sepatutnya Neo perlu mengambil benchmark model Volkswagen yang paling berjaya iaitu model Golf. Walaupun ianya sebuah kereta prestasi, namun ianya langsung tidak mengabaikan keselesaan, ruang dan kualiti buatan.