Sumber dari Malaysiakini telah melaporkan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengemukakan pelan pengurangan bebanan cukai radikal mengikut dasar automotif negara (DAN). Sebagai sebuah blog automotif bebas, entri ini janganlah dilihat sebagai menyebelahi sesebelah pihak tetapi begitulah realitinya di negara kita di mana harga keretanya antara yang termahal di dunia berikutan struktur cukai yang rumit dan tinggi. Fakta menunjukkan hutang kereta penduduk Malaysia adalah berjumlah RM 118 bilion, kedua selepas rumah yang mencapai RM225 bilion.
Menurut timbalan presiden PKR, saudara Azmin Ali, cukai sebuah kereta Perodua berharga RM40,000 adalah sebanyak RM16,500. Beliau menggesa rakyat memikirkan semula senario ini dan pakatan rakyat sedang berusaha untuk memikirkan dasar baru untuk mengurangkan harga kereta dan rumah.
Jika kita lihat carta di atas, kita dapat menilai berapa harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah Honda Civic. Walaupun kerajaan berulang kali menegaskan ianya bertujuan melindungi pengeluar nasional iaitu Proton dan Perodua, cukai yang dikenakan adalah teramat tidak munasabah dan membebankan. Walaupun kerajaan mengutip ratusan bilion ringgit dari cukai kenderaan, tidak nampak perubahan ketara dari segi infrastruktur awam dan ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya ke mana wang tersebut dibelanjakan. Sebagai rakyat Malaysia, apa yang penting kita perlu berfikir secara rasional untuk kebaikan semua dan tidak hanya kerana kepentingan peribadi dan politik sahaja.