PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan memperkenalkan beberapa lagi barisan model baru di pasaran tempatan dan antarabangsa, pada harga lebih berdaya saing dan mampu dimiliki.
Model berkenaan yang disifatkan pengurusan kanannya sebagai ‘kereta kompak yang akan memenuhi cita rasa pengguna’ akan diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun ini.
adalah seiring dengan pelan hala tuju lima tahun pengeluar kereta nasional kedua itu.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pengenalan model baru berkenaan adalah perancangan khas Daihatsu Motor Corporation Ltd (DMC), untuk PERODUA memasang dan memasarkannya di pasaran tempatan dan beberapa lagi pasaran antarabangsa terpilih lain.
“DMC mempunyai rancangannya tersendiri untuk pasaran PERODUA (tempatan dan antarabangsa), dan pada dasarnya kita setuju kerana ia seiring dengan pelan lima tahun kami yang mana ada beberapa barisan produk yang akan diperkenalkan di Malaysia dan beberapa lagi akan dikhususkan untuk pasaran eksport.
“Namun, ia masih memerlukan lebih banyak kajian kerana produk yang kami mahukan mestilah memenuhi cita rasa pengguna Malaysia dan mampu ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki dan lebih berdaya saing,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar harian tempatan Jepun mengenai rancangan DMC mengeluarkan kereta kompak harga murah di Indonesia, sekitar AS$10,750 seunit (RM32,744) bagi pasaran republik itu dan Asia Tenggara menjelang 2013.
Dilaporkan, pakar kereta kompak Jepun itu akan mengeluarkan kereta bercirikan penjimatan minyak dengan 70 peratus daripadanya akan dijual di bawah jenama Toyota.
Toyota Motor Corporation adalah pemegang saham utama DMC dengan menguasai kepentingan sebanyak 51.2 peratus.
DMC pula adalah rakan kongsi teknikal PERODUA yang berpangkalan di Ikeda, Osaka, Jepun. Ia juga adalah satu daripada pemegang saham utama PERODUA dengan menguasai kepentingan 20 peratus.
Pemegang saham PERODUA lain adalah UMW Corporation Sdn Bhd yang menguasai 38 peratus, MBM Resources Sdn Bhd (20 peratus), PNB Equity Resources Corporation Sdn Bhd (10 peratus), Mitsui & Co Ltd (7.0 peratus) dan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd (5.0 peratus).
Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan membuka tempahan bagi Alza edisi khas yang dikenali sebagai ‘M2 Special Edition’ akhir bulan ini.
“PERODUA masih lagi dalam peringkat memuktamadkan harga model ini dan saya jangkakan ia mungkin ditawarkan sekitar RM71,999 hingga RM74,999 seunit,” katanya.
Model yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan menampilkan kemasan dan perincian lebih mewah dan eksklusif itu, diperkenalkan sempena memperingati jasa dan sumbangan besar bekas perdana menteri itu kepada Perodua.