Syarikat panggil semula 65,000 model di AS, Mexico, Kanada
MAZDA berdepan masalah menggelikan apabila sejenis spesies labah-labah didapati tertarik untuk membuat sarang dalam enjin model sedan sportynya, Mazda 6.
Pengeluar kereta Jepun itu kelmarin mengumumkan akan memanggil semula 65,000 model itu di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico untuk memasang peralatan khas bagi menghalang labah-labah itu daripada berbuat demikian.
“Kelihatannya tiada sebab yang khusus mengapa serangga itu memilih Mazda 6,” kata jurucakap syarikat itu, Jeremy Barnes.
Mungkin ia suka pergi ‘zoom zoom’,” katanya sambil ketawa merujuk kepada slogan pengiklanan Mazda.
Walaupun masalah labah-labah itu mungkin kelihatan, Barnes berkata ia mungkin berbahaya.
Sarang labah-labah itu boleh menyekat aliran udara di dalam bolong tangki minyak, menyebabkan ia bocor atau terbakar.
Walaupun tiada sebarang kemalangan seumpama itu dilaporkan setakat ini, Mazda tidak sanggup menanggung sebarang risiko.
Memandangkan masalah itu tidak terhad kepada kedudukan geografik tertentu, Mazda berpendapat adalah lebih baik jika syarikat itu memanggil semula kereta model itu yang berada di kawasan penempatan labah-labah jenis berkenaan, kata Barnes.
Masalah itu kali pertama dikesan berlaku pada Oktober 2009 apabila seorang pengedar menemui sarang labah-labah berkenaan di dalam bekas penapis pada sebuah kereta yang sedang dibaiki kerana mengalami kebocoran minyak.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pengedar itu mendapati sarang itu sudah menyumbat bolong sehingga mendatangkan ‘tekanan berlebihan’ di dalam tangki minyak dan menyebabkan keretakan berlaku akibat tekanan yang berulang kali.
Sebanyak 19 sarang sudah ditemui di dalam enjin Mazda 6 seluruh AS, tetapi hanya pada versi 4 lejang.
Semua pengeluar sudah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan keretakan, pembersihan bolong, memasang spring untuk ‘menghalang pencerobohan labah-labah’ dan menyusun semula modul program kawalan bagi mengelakkan kewujudan tekanan berlebihan di dalam tangki.
Jika wujud sebarang kerosakan atau sarang ditemui pada enjin kereta terbabit, bekas penapis dan tangki minyaknya akan digantikan dengan yang baru. – AFP