Proton hari ini telah melancarkan model Satria Neo R3 talaan bahagian sukan permotoran mereka iaitu Race, Rally and Research atau R3. Seperti beberapa gambar Spy Shots terdahulu, model ini hanya ditawarkan dengan 1 warna sahaja iaitu merah api dengan bodykit model CPS ditambahkan dengan beberapa komponen baru seperti spoiler bumbung R3, front lip, door protector berwarna titanium dan ianya juga adalah 10mm lebih rendah.
Enjinnya pula masih lagi enjin Campro CPS 1.6liter tetapi telah ditingkatkan oleh pihak R3 dari 125hp dan 150Nm tork kepada 145hp pada 7000rpm dan 168Nm tork pada 5000rpm dipadankan dengan kotak gear manual 5 kelajuan bernisbah rapat. Ianya cukup memberikan kuasa kepada Neo R3 terbaru ini.
Rekaan dalamannya pula adalah sama seperti Neo sedia ada namun ianya ditambah dengan kemasan berwarna merah pada instrumen panel, konsol gear, kerusi dan juga door trim untuk menambahkan lagi ciri-ciri prestasi tinggi padanya. Ia juga menampilkan stereng berkemasan kulit dan kerusi semi bucket kulit dengan kemasan berwarna merah.
Antara ciri-ciri lain termasuklah sistem navigasi satelit integrasi dengan ICE, butang penghidup enjin, brek pad berprestasi tinggi disamping ciri keselamatan standard seperti beg udara berkembar dan sistem brek ABS dengan EBD.
Malangnya Satria Neo R3 ini hanya boleh dilihat di bilik pameran Center of Excellence dan 3 bilik pameran platinum yang lain seperti Mutiara Damansara, Juru dan Plentong. Ianya dijual pada harga RM79,797 termasuk insuran. Sila teruskan bacaan untuk lihat galeri penuh Satria Neo R3 terbaru ini.