Proton dipetik mahu menjadi lebih kompetitif dalam tempoh masa 5 tahun lagi seiring dengan pelaksanaan pasaran terbuka pasaran automotif negara. Jika menurut perancangan, pengeluar luar negara akan mendapat hak sama rata apabila perjanjian perdagangan bebas (FTA) berkuatkuasa bermula tahun 2018. Proton kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi situasi pasaran terbuka dengan penstrukturan semula yang kini dalam fasa terakhir dengan berfokuskan pembangunan perniagaan strategik dan kerjasama OEM dengan pengeluar global terutamanya dalam bidang teknologi, powetrain dan komponen menurut kata pengarah urusannya, Dato Syed Zainal.
Sementara, beliau juga mengatakan enjin turbo charged Campro 1.6liter akan membuat kemunculan dengan Exora (gambar spy shots di atas) dalam suku ketiga tahun ini. Jika tahun kewangan Proton bermula pada bulan April, suku ketiga yang dimaksudkan adalah pada bulan September dan jika bermula Januari, suku ketiga bermakna bulan bermula seawal bulan Jun ini. Pada pendapat admin mungkin pada bulan September yang juga bertujuan untuk menghangatkan pasaran yang biasanya sejuk kerana sudah hampir akhir tahun. Apa pun ini yang admin nantikan kerana enjin yang cukup berkuasa digabungkan dengan teknologi penjimatan minyak VVT dan kotak gear CVT yang sememang memberi pemanduan yang smooth dan seterusnya menambah baik tahap NVH.
Menurut beliau lagi, Proton Exora Hibrid (gambar atas) juga sedang dalam peringkat akhir ujian dan penilaian di UK dan hanya tinggal 2 minggu lagi sebelum ianya siap. Selepas itu, beberapa unit akan dihantar ke agensi kerajaan sebagai kereta urusan rasmi bertujuan untuk ujian sebelum dijual di pasaran pada tahun hadapan.
Komen admin: Usaha yang baik dan cepat dari Proton dengan melabur untuk terus relevan dalam industri automotif masakini iaitu dengan 1. enjin turbochagred+CVT, 2. Hibrid dan 3. EV. Dengan teknologi sebegini, penjimatan petrol yang maksimum boleh diperoleh dan telah menjadi perkara wajib bagi semua pengeluar automotif. Ianya setaraf dengan Toyota yang mempunyai enjin VVTi atau Nissan dengan CVTC mereka.
Tetapi, apa yang admin musykilkan ialah tahap kualiti dan khidmat selepas jualan Proton yang masih menjadi isu. Apakah Proton masih tidak sedar perkara ini. Amat rugi Proton membayar gaji pengarah urusan bahagian marketing dengan gaji yang mahal sedangkan masalah akar umbi pun belum dapat diselesaikan? Ini terbukti baru-baru ini seperti yang dilaporkan Kosmo ahad lepas di mana seorang pembeli Proton Persona mengalami kerosakan pada lampu tidak sampai 24 jam selepas mengambil kereta tidak dilayan permintaannya untuk mendapatkan waranti, sebaliknya diarahkan untuk membayar sendiri kos pembaikan berjumlah RM3,178.45 oleh Pelangi Innovative, pengedar kereta terbabit. Perkara ini sepatutnya sudah tidak berlaku lagi! Ini sudah tahun 2011 bukannya zaman Tok Kadok.
Diharapkan Syed Zainal dapat mengambil serius akan perkara ini dan jika berkemampuan, ambillah tenaga pakar dalam bidang selepas jualan dari syarikat yang sudah establish seperti Lexus. Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.