Proton Saga FLX telah pun berada di show room utama Proton dan tempahan sudah boleh dilakukan bermula hari ini. Model ini merupakan model penambahbaikan dari model sebelum ini iaitu Saga FL namun masih mengekalkan harga paling kompetitif dalam pasaran. Saga FLX kini menerima revolusi teknologi baru Proton iaitu kotak gear CVT 6 kelajuan dengan fungsi SAT (Stepped Automatic Transmission) untuk pengalaman kotak gear 6 kelajuan biasa.
Kotak gear CVT membolehkan kereta meluncur di kelajuan tinggi pada rpm yang rendah seterusnya mengurangkan faktor kepenatan dan gegaran daripada kesan NVH yang lebih nyata jika menggunakan kotak gear automatik konvensional. CVT membolehkan enjin berada pada rpm sekitar 3000rpm walaupun kereta dipandu selaju 150km/h.
Enjinnya masih menggunakan Campro IAFM 1.3liter namun ianya dipertingkatkan dan diberikan nama IAFM+. Enjin DOHC 4 silinder ini menghasilkan kuasa 94hp@5,750rpm dan 120Nm@4,000rpm tork maksimum pada 5750rpm, penambahbaikan dari 6000rpm sebelum ini. Namun enjin ini masih tidak dilengkapi sistem VVT kerana faktor penjimatan kos disamping mahu mengekalkan harga yang kompetitif. Proton dijangka memperkenalkan sistem VVT pada enjin Campro CFE nanti yang akan mula digunapakai oleh model Exora Turbo. Model FLX ini menawarkan penjimatan bahan bakar sehingga 4%.
Selain itu sistem keselamatan untuk model Executive ditambah baik dengan pengenalan sistem brek anti kekunci atau ABS dan juga pengedar kuasa brek elektronik atau EBD bersama-sama beg udara berkembar untuk pemandu dan penumpang hadapan. Agak malang bagi kita dan sepatutnya aspek keselamatan seperti beg udara dan ABS+EBD patut diwajibkan oleh kerajaan. Harga jualannya pula hanya bertambah antara RM600.00 dan RM1700.00, bermula dari RM41,598.00 (CVT Standard) dan RM44,998.00 (CVT Executive). Varian manual Standard berharga RM38,598.00, manakala varian manual Executive berharga RM42,398.00, masih jauh lebih murah dari model terbaru Perodua dan teknologi lebih tinggi.