Seperti yang diketahui umum, pengeluar kereta nasional, Proton, akan melancarkan sebuah model kereta kompak serba baru yang dikatakan akan menjadi saingan rapat Perodua Myvi dan malah juga Perodua Axia jika harga berpatutan pada varian rendah. Rupa bentuk model itu juga sudah diketahui umum dengan bocornya beberapa gambar pertama kali ketika sedang disiapkan untuk ujian perlanggaran dan yang terkini seperti gambar di atas yang mana ianya adalah unit pra-pengeluaran massa atau ‘pre-production’ unit yang digunakan untuk memastikan kualiti menepati piawaian yang ditetapkan sebelum pengeluaran secara besar-besaran dilakukan di kilang Proton Tanjung Malim. Rupa bentuknya sudah kita kenal, jadi apa lagi yang kita perlu tahu dengan model baru Proton ini?
Merujuk kepada butiran yang tertera pada helaian spesifikasi Proton PCC yang bocor diinternet, saya katakan ianya adalah satu penanda aras baru bagi Proton dan juga kereta jenis kompak di Malaysia amnya. Anda lihat sendiri ianya adalah kereta yang lengkap dari pelbagai aspek. Apa yang menarik perhatian ialah kereta ini akan menggunakan enjin baru dengan fungsi pemasa injap bolehubah atau VVT. Tidak dapat dipastikan samada ianya adalah enjin Campro versi naik taraf atau memang benar ianya enjin baru dari Proton. Berkemungkinan juga ianya enjin Petronas yang satu masa dulu ditolak oleh Proton untuk memberi laluan kepada enjin Campro. Enjin baru ini bakal dipadankan dengan kotak gear CVT dan juga manual 5 kelajuan. Aspek penjimatan minyak pula ditambah baik dengan pengenalan steering kawalan elektrik (EPS), penggunaan smart alternator dan juga enjin VVT itu sendiri. Aspek keselamatan adalah yang terbaik saya kira untuk model kompak dengan fungsi dinamik seperti brek anti kekunci (ABS), pengagihan kuasa brek elektronik (EBD), Sistem kawalan gelinciran (TCS), Sistem kawalan penstabilan elektronik (ESC), Fungsi brek bukit (HBA) dan fungsi ketetapan bukit (HHA). Selain dari itu, model ini juga menitikberatkan keselamatan penumpang dengan sistem body yang kuat atau RESS, tali pinggar keledar 3 point, 6 beg udara dan fungsi ISOFIX untuk kerusi bayi. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai lagi fungsi seperti peringatan waktu penyelenggaraan, fungsi pemanduan arah multimedia dan modul kawalan badan seperti follow me home, wiper automatik, lampu automatik dan sebagainya. Selain itu, ia juga mempunyai lampu siang LED, tingkap kuasa anti sepit, kemasukan tanpa kunci dan kamera undur belakang beserta dengan sensor. Wah, memang hebat kereta ini jika benar-benar ianya seperti spesifikasi di atas.
Proton juga telah mengeluarkan beberapa gambar komputer online model ini di http://betulbetulonz.com.my dengan memaparkan rupa luaran sebenar model ini dalam grafik komputer dan juga beberapa gambar mengenai rekaan dan aksesori dalaman kereta ini. Rekaan lampu hadapannya memang menarik dengan kemasan chrome untuk tampak lebih elegant dan ‘hidup’. Lampu jenis projektor sama seperti jenis yang digunakan oleh Myvi lagi best. Mungkin ramai yang suka rekaan lampu hadapan begini kerana nampak lebih dinamik dan sporty.
Kereta ini bakal menggunakan fungsi masuk dan pandu tanpa kunci sepenuhnya iaitu menggunakan smart key yang mana pemandu hanya perlu menekan butang padan pemegang pintu dan terus menekan butang penghidup enjin untuk memulakan pemanduan. Fungsi seperti ini sudah dipakai oleh pengeluar lain seperti yang ada pada Toyota Vios dan Honda City. Sebelum ini Proton pernah menggunakan sistem butang penghidup enjin pada model Preve dan Suprima S namun pemandu perlu memasukkan kunci ke slot yang disediakan sebelum menekan butang penghidup enjin untuk menhidupkan kereta. Ya inilah fungsi yang ditunggu-tunggu oleh bakal pembeli Proton.
Proton juga menawarkan skrin multimedia pelbagai fungsi pada model ini. Fungsi radio, bluetooth, pemanduan arah dan kamera undur belakang boleh didapati pada kereta ini.
Akhir sekali tentang aspek keselamatan model ini. Dengan 6 beg udara dan sistem body RESS, model kompak ini berjaya mendapat penarafan 5 bintang untuk keselamatan sewaktu perlanggaran dari program penilaian kereta baru Australia (ANCAP). Keselamatan penumpang bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan. Sekarang anda sudah tahu banyak mengenai model ini dan adakah anda berminat untuk mendapatkannya? Kita berharap pihak Proton dapat meningkatkan kawalan mutu untuk model baru ini untuk mencapai kepuasan pelanggan yang tinggi seterusnya meningkatkan jualannya.