Kerjasama antara Proton dan Suzuki semakin menampakkan hasil apabila pengeluar kereta itu mengatakan mereka akan mengeluarkan model rebadge dari Suzuki pada hujung tahun ini. Model itu adalah antara 4 model baru yang akan dilancarkan Proton pada tahun ini. Model-model itu adalah Perdana, Saga dan Persona serba baru.
Keputusan Suzuki untuk keluar dari pasaran Malaysia dan bekerjasama dengan Proton adalah salah satu langkah rasionalisasi kos oleh pengeluar Jepun itu. Suzuki sudah membuktikan kerjasama dengan pengeluar kereta seperti Maruti di India sehingga mereka menguasai hampir separuh pasaran kereta di negara itu. Tidak mustahil kerjasama dengan Proton juga akan membuahkan hasil yang serupa.
Pusat jualan dan servis Suzuki juga telah bertukar milik kepada Proton Edar, unit jualan Proton. Walaubagaimanapun, pemilik kereta Suzuki sedia ada masih boleh servis dan waranti berjalan seperti biasa. Bilik pameran juga akan mempamerkan 2 logo iaitu logo Suzuki dan Proton. Proton juga boleh mempamerkan model-model mereka di bilik pameran tersebut.
Kerjasama dengan Suzuki dilihat tepat di mana Suzuki yang mempunyai kepakaran membuat kereta kompak sememangnya sesuai dengan iklim pemilikan kereta di negara kita. Dengan kerjasama ini, Proton akan dapat menggunakan teknologi Suzuki yang lebih maju untuk menghasilkan kereta yang lebih berkualiti. Semoga dengan perkembangan ini Proton dapat mengembalikan keyakinan pasaran pada produk keluaran mereka.