Jika anda mempunyai kereta, pasti anda akan menghantar kenderaan anda untuk diservis. Apa jua jenama kereta pun, komponen yang paling penting adalah enjin dan transmisi kerana ini adalah komponen mekanikal terpenting untuk menggerakkan kereta anda. Enjin dalam erti kata lain adalah jantung kepada kereta anda. Jika tidak diselenggara dengan baik mengikut jangka masa yang di tetapkan, maka akan timbul pelbagai masalah. Biasanya kita hantar servis di pusat servis atau bengkel, kebanyakan kita menyerahkan bulat-bulat kepada mereka. “Bos, servis minyak itam”. Begitulah kebiasaan kita atau jika di pusat servis, serah kunci kepada penasihat servis dan tunggu bil sahaja. Mari kita dapatkan sedikit info berkenaan gred minyak enjin yang kita gunakan.
Amaran: Pastikan anda menggunakan minyak enjin yang disyorkan oleh pengeluar kereta anda.
Gred minyak enjin biasanya terbahagi kepada dua iaitu multigrade dan mono grade. Gred seperti SAE 5W-30, 10W-40, 0W-20 misalnya adalah kategori multigrade dan SAE 40 adalah kategori mono grade. SAE adalah singkatan dari perkataan Society of Automotive Engineers, satu pertubuhan yang diasaskan oleh Andrew Ricker dan Henry Ford sebagai penaung kepada jurutera-jurutera seluruh Amerika pada waktu itu. Masa berlalu, ianya terus berkembang ke peringkat antarabangsa dan menjadi rujukan banyak pelbagai pihak dengan standard yang diberikan mereka termasuklah untuk minyak enjin. Bermakna, jika anda membeli minyak gred 5W-30 di Nepal adalah sama dengan gred 5W-30 di New York.
Merujuk kepada penerangan dalam gambar di atas, 5 dan 30 adalah mewakili kelikatan atau viscosity minyak enjin dan W adalah untuk winter atau musim sejuk. 5W bermaksud kelikatan minyak pada musim sejuk. Pada waktu sejuk, enjin perlu berkelikatan rendah untuk memudahkan ianya segera tersebar di seluruh bahagian dalam enjin untuk perlindungan pada komponen sewaktu menghidupkan enjin. 30 mewakili kelikatan pada tahap enjin beroperasi maksimum iaitu pada sushu 100 darjah celcius. Ia menjadi lebih likat bagi melindungi komponen enjin ketika keadaan panas. Mengapa lebih panas ia lebih likat? Sepatutnya, bila lebih panas, sesuatu akan lebih cair namun sebaliknya yang berlaku.
Minyak enjin adalah dibuat dari minyak mentah atau dipanggil crude oil yang ditapis mengikut standard penggunaan dalam enjin. Namun produk akhirnya adalah bukan hanya minyak ditapis, tetapi dalam proses menjadi minyak yang sesuai untuk enjin, beberapa bahan kimia atau additive telah ditambah menjadikan ianya kurang likat waktu sejuk dan lebih likat pada waktu panas.
Bagi mono grade pula, ia adalah minyak enjin untuk operasi pada julat suhu yang rendah. Misalnya SAE 10W, adalah minyak untuk kegunaan musim sejuk sahaja manakala SAE 40 adalah untuk kegunaan musim panas sahaja. Jadi ia menyukarkan untuk tiap kali musim bertukar perlu untuk menukar minyak enjin. Pada masakini, minyak mono grade digunakan untuk enjin atau pelinciran yang mudah seperti mesin potong rumput atau pelinciran sistem hidraulik.