Anda mungkin terfikir mengapa ada kereta yang mempunyai pemanduan sebelah kanan dan sebelah kiri kan? Bagaimana ia ditetapkan mungkin susah untuk anda faham kerana ianya telah berlaku sejak beratus tahun lamanya dan berkait kepada sistem trafik atau lalulintas yang digunakan di sesebuah negara tersebut. Negara yang mempunyai sistem trafik sebelah kiri atau Left Hand Traffic (LHT) akan mempunyai kereta dengan pemanduan sebelah kanan dan begitu juga sebaliknya untuk negara yang menggunakan sistem trafik sebelah kanan atau Right Hand Traffic (RHT) akan mempunyai kereta dengan pemanduan sebelah kiri. Satu penerangan yang agak panjang berdasarkan maklumat yang diperoleh dari internet dan kami cuba ringkaskan untuk lebih mudah difahami.
Gambar peta dunia di atas menunjukkan pembahagian antara negara dengan sistem trafik sebelah kanan dan juga kiri. Warna merah yang mendominasi peta itu ialah negara-negara dengan sistem trafik sebelah kanan, manakala yang berwarna biru tua adalah negara yang mempunyai sistem trafik sebelah kiri. 76 negara menggunakan sistem trafik sebelah kiri dan 163 negara menggunakan sistem trafik sebelah kanan. Pada sekitar tahun 1919, negara yang menggunakan sistem arah sebelah kiri adalah hampir sama dengan arah sebelah kanan, namun diantara tahun 1919 hingga tahun 1986, 34 negara telah menukar sistem mereka dari sebelah kiri ke kanan. Sebelum itu kita fahamkan dulu apa dia yang dimaksudkan sistem trafik sebelah kiri dan sebelah kanan ini?
Perhatikan gambarajah di atas. Dalam gambar tersebut terdapat imej pergerakan kereta pada jalan 2 hala. Di tengah-tengahnya pula terdapat anak panah menunjukkan arah pandangan manusia. Mengikut anak panah ini, kita anggap seseorang melihat ke arah hadapan atau sedang bergerak ke arah hadapan. Jika seseorang melihat kereta bergerak ke hadapan selari dengan pergerakannya, maka ia ditakrifkan sebagai arah trafik kiri manakala jika berlawanan dengan pergerakan orang itu, ia ditakrifkan sebagai arah trafik kanan. Gambar kecil di sebelah kedua-dua lakaran arah trafik itu pula adalah gambar kedudukan pemandu iaitu sebelah kanan untuk arah trafik kiri dan sebelah kiri untuk arah trafik kanan. Ok sekarang dah faham berkenaan dua jenis arah trafik dan kedudukan pemanduan kereta.
Secara sejarahnya, kebanyakan tempat menggunakan arah sebelah kiri, dan banyak juga yang menggunakan sebelah kanan walaupun dalam sebuah negara. Banyak kisah-kisah mitos yang cuba menerangkan tentang kelebihan setiap satu ke atas yang lain. Kira-kira 90% daripada manusia adalah orang tangan kanan berdasarkan fakta. Contohnya kuda kebiasaannya ditunggang dari sebelah kiri dan menuruni kuda juga adalah dari sebelah kiri. Jadi, untuk mengasingkan kuda dengan orang (sewaktu berjalan) mereka akan menggunakan kaedah arah trafik sebelah kanan. Begitu juga pejalan kaki yang meletakkan pedang mereka pada sebelah kanan, jadi untuk tujuan mempertahankan diri, mereka menggunakan arah trafik kiri. Juga kisah seorang pendeta kristian yang mengarahkan para penganut kristian yang datang beribadah agar bergerak mengikut sebelah kiri pada sekitar tahun 1300. Namun ada juga yang mengatakan beliau mengarahkan ke sebelah kanan tetapi tiada bukti yang ada untuk mengukuhkan kedua pendapat ini.
Berdasarkan 90% dari penduduk dunia adalah menggunakan tangan kanan dan sesuatu kaum yang kesemuanya menggunakan tangan kiri adalah hampir tidak wujud. Dengan fakta majoriti penggunaan tangan kanan inilah yang mengkaitkan rapat bahawa dunia secara amnya menggunakan arah trafik sebelah kiri. Ini kerana, jika seseorang itu adalah tangan kanan, berbanding ruang sebelah kirinya, ruang sebelah kanannya membolehkan pergerakan ruang lebih luas, sebab itu ambil kedudukan di sebelah kiri. Jadi, jika itu adalah faktanya, mengapa arah sebelah kanan digunakan lebih meluas?
Setelah beberapa kurun manusia menggunakan arah sebelah kiri, selepas itu mengapa kebanyakan negara berubah kepada arah sebelah kanan adalah disebabkan oleh revolusi Napoleon (1769-1821) yang mengubah arah pegerakan ini. Ini adalah cerita yang termashur tentang sebab pertukaran arah ini. Semasa revolusi ini berlaku, Napoleon terkenal dalam sejarah kerana beliau telah memperbaiki kemudahan lalulintas secara besar-besaran termasuklah dari segi undang-undang lalulintas. Nama beliau tercatat dalam sejarah Perancis sebagai orang yang menguatkuasakan arah lalulintas sebelah kanan.
Jika dilihat dari taburan negara yang berbeza arah pergerakan lalulintas, terdapat dua kelompok yang besar iaitu bekas kolonial Perancis dan bekas kolonial Inggeris. Daripada situ, negara yang menggunakan arah sebelah kiri tinggallah negara yang pernah menjadi koloni Inggeris dan juga negara-negara yang mempunyai sebab tersendiri (contohnya Jepun). Jadi mengapa Napoleon telah mengubah arah pergerakan trafik ke sebelah kanan? Sebabnya adalah:-
1. Sebab Napoleon sendiri adalah orang tangan kiri – Beliau merupakan orang tangan kiri seterusnya menggunakan tangan kiri untuk memegang pedang. (Walaubagaimanapun tidak dijumpai gambar-gambar beliau memegang pedang)
2. Strategi menyerang musuh dari sebelah kanan – Secara fizikalnya, tempat paling lemah pada musuh ialah bahagian kiri badan jadi jika bergerak dari arah sebelah kanan lebih mudah untuk menyerang musuh.
3. Bermulanya era penggunaan senjata api – Untuk menyerang musuh, lebih mudah membidik dari arah kanan dan beliau mengarahakan askarnya bergerak dari sebelah kanan
British pula bukan tanah jajahan Perancis dan tidak menukar kepada arah sebelah kanan dan ianya juga diikuti oleh negara-negara koloni mereka atau sekarang dipanggil negara komanwel seperti Australia, New Zealand, India, Malaysia dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ada negara yang dulu adalah koloni British telah menukar arah trafik mereka dari kiri ke kanan atas beberapa sebab seperti penyeragaman sistem dengan negara jiran dan sebagainya.
Amerika juga pada awalnya tidak menetapkan arah kiri atau kanan dan sesetengah tempat menggunakan arah kanan dan sesetengah tempat ada yang menggunakan arah kiri. Oleh kerana jika kereta mempunyai stereng di sebelah kanan, ia sukar menurunkan penumpang di sebelah pemandu. Jalan pada masa itu agak sempit dan jika penumpang tidak turun di bahu jalan, pakaian mereka akan terkena kotoran jalan. Ini tidak disukai oleh para isteri-isteri di Amerika pada waktu itu. Jadi dengan pelbagai kajian dan faktor peredaran masa, arah trafik semakin cenderong ke arah kanan. Kereta Model pertama syarikat Ford yang dipanggil model T juga mempunyai kedudukan stereng pada kiri yang membolehkan penumpang terus turun ke bahu jalan dan mengelakkan pakaian menjadi kotor. Semenjak itu seluruh lalulintas di Amerika telah diseragamkan.
Walaupun begitu, apa yang menarik ialah di Amerika, kenderaan perkhidmatan POS menggunakan pemanduan sebelah kanan dan bukan sebelah kiri. Mengapa begitu? Sebabnya, ia bertujuan untuk memudahkan pemandu memasukkan surat ke dalam kotak surat.
Secara rumusannya, penetapan arah trafik sebelah kiri atau kanan tidaklah dipengaruhi oleh sesuatu yang pasti. Walaupun terdapat banyak mitos dan cerita-cerita disebalik sebab kenapa sesebuah negara itu mempunyai arah trafik sebelah kiri dan negara lain pula sebelah kanan. Berdasarkan cerita di atas, ianya lebih kepada perkara norma, pendapat individu, keselesaan dan kemudahan yang bercampur sebati dan akhirnya diseragamkan menjadi satu undang-undang. Pada kurun ke 19, ada negara yang bertukar sistem lebih kerana penyeragaman antara negara berjiran supaya mudah untuk berurusan namun masih ada juga negara berjiran yang berbeza arah trafik contohnya China yang menggunakan arah sebelah kanan dan Macau & Hongkong (koloni British) yang menggunakan arah sebelah kiri. Bagi kenderaan dari kedua negara ini, jika mereka mahu menyeberang, mereka melalui satu jambatan khas yang dinamakan jambatan Lotus.