Mula-mula agak mengejutkan juga kerana sebagai pengeluar jenama terkenal, mengapa Toyota menggunakan model syarikat lain dan dijual sebagai modelnya sendiri? Ya Yaris adalah model kompak Toyota yang berjaya menembusi pasaran global. Namun, model Yaris ini bentuknya berbeza mengikut kawasan pasarannya seperti Amerika, Eropah, Asia malah Jepun sendiri. Seperti di negara kita atau rantau ASEAN umumnya, Yaris merupakan pada asasnya adalah model Vios dengan ciri sportback. Di Amerika, Yaris mempunyai 2 varian iaitu hatchback dan sedan. Di Eropah misalnya cuma satu varian sahaja iaitu hatchback. Apa yang pasti, model Yaris di ketiga-tiga negara ini adalah berbeza dari segi rekabentuk mahupun enjin yang digunakan.
Mengapa ada rekabentuk yang berbeza-beza? Sehingga satu ketika sebelum ini, banyak pengeluar kenderaan hanya menetapkan satu rekabentuk sahaja untuk satu nama model. Contohnya apa yang ada di negara pengeluar itulah bentuk yang juga dijual di negara yang dieksportnya. Mungkin spesifikasi berbeza dari segi aksesori namun bentuknya tetap sama. Namun apabila banyak R&D center dan kilang pengeluaran dibina di luar negara asal, banyak model mula dikategorikan dan direka berdasarkan kehendak pasaran di sesebuah rantau tersebut. Contohnya, pusat pengeluarannya Toyota di rantau Asia Pasifik beribu pejabat di Thailand mempunyai pusat teknikal yang bertanggungjawab untuk menyelia operasi mereka di Asia Pasifik.
Itulah sebabnya kita lihat model-model berbeza bagi setiap rantau. Untuk pasaran Eropah pula, model Yarisnya adalah menyerupai model Yaris di Jepun. Yaris di Jepun tidak dipanggil Yaris tetapi dipanggil Vitz. Yaris Eropah dikeluarkan oleh kilang pengeluaran oem di Perancis. Gambar di bawah adalah rekabentuk model Yaris di United Kingdom.
Jadi berbalik kepada cerita mengapa pula model Yaris di Amerika Syarikat menyalin model Mazda 2? Berdasarkan maklumat, Toyota telah menjalankan satu kerjasama perniagaan dengan Mazda di benua Amerika bagi mengoptimumkan kos operasi mereka di sana. Ini kerana, untuk pasaran Amerika Syarikat, model kecil seperti Yaris ini bukan tiada pembeli langsung tetapi jumlahnya tidak banyak dan kebanyakan yang diminati adalah model keluaran syarikat Jepun. Jadi daripada mereka bersaing untuk satu pasaran yang terhad, lebih baik mereka bekerjasama secara menang-menang. Dan pastinya pembeli juga akan memilih Toyota kerana reputasi mereka di Amerika Syarikat tidak payah diterangkan lagi. Oleh kerana Mazda mengeluarkan model Mazda 2 di kilang mereka di Mexico, maka Toyota menggunakan model Mazda 2 sebagai Yaris mereka. Dan jika dilihat di web Mazda Usa, mereka tidak menjual model Mazda 2.
Kerjasama sebegini bukanlah baru untuk pengeluar automotif. Pengeluaran sesuatu model kereta memerlukan belanja yang sangat besar dari R&D hinggalah kepada kos kilang mereka. Jika jumlah yang dijual tidak mencapai sasaran, maka mereka akan menanggung kerugian yang besar. Dalam kes ini, Toyota yang sebelum ini menghantar Yaris dari Perancis untuk ke pasaran Amerika Syarikat dapat menjimatkan kos pengangkutan dan Mazda pula dapat mengoptimumkan kos pengeluaran di kilang Mexico mereka.