Pekerjaan jurureka sememangnya amat mencabar tetapi sangat menarik. Amat mencabar kerana mereka perlu memerah otak untuk mengeluarkan buah fikiran bagi mereka sesuatu produk yang boleh menepati semua aspek iaitu dari segi menarik minat pengguna, fungsi produk, kos pengeluaran yang minima dan banyak lagi aspek yang perlu dipertimbangkan. Lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam bidang automotif sebagai automotive designer yang ditanggungjawabkan untuk mereka bentuk kereta dari lakaran kosong. Sudah pasti pelbagai idea perlu dicetuskan sebagai pemula untuk membuat rekaan. Kali ini kami ingin membawakan satu kisah di mana rupa-rupanya model MPV yang sangat popular di negara kita dan Jepun khasnya diilhamkan dari sebiji telur ayam? Betul ke ni? OK mari kita teruskan bacaan.
30 tahun dahulu iaitu pada tahun 1990, Toyota telah melancarkan satu model baru yang dinamakan Estima. Ia dilancarkan dengan 2 varian seakan sama tetapi berbeza dari segi kosmetik dipanggil Estima Lucida dan Estima Emina. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, ianya mengadaptasi rekaan kereta formula1 yang stabil dengan enjin ditengah. Estima ketika itu menggunakan enjin 2.4 liter pasangan hadapan-tengah dengan variasi sistem pacuan dua roda belakang atau pacuan empat roda. Juga terdapat varian yang dilengkapi pengecas super untuk lebih kuasa.
Generasi pertama Estima terus menjadi hit di negara Jepun selepas dilancarkan kerana ianya adalah satu kenderaan pelbagai guna dengan rekaan yang menarik, selesa dengan ruang yang luas dan juga enjin yang cukup berkuasa. Konsep rekaan berdasarkan telur ayam ini jelas berjaya walaupun sesetengah orang fikir ‘kenapa telur ayam’? Ya disitulah datangnya rekabentuk yang menyebabkan kereta ini unik dan mudah dipandu dan selesa kepada penumpang. Setelah 30 tahun berlalu, sudah berapa generasikah model Estima yang sudah dipasarkan?
Estima kini sudah masuk ke generasi ketiga dan boleh dikatakan ianya adalah satu model yang berjaya kepada syarikat Toyota. Model generasi ketiga, yang banyak berada di negara kita pada ketika ini, boleh dikatakan model Estima yang paling berjaya. Ini kerana, kebiasan amalan syarikat pengeluar kereta Jepun, setiap 5 tahun sekali sesebuah model itu akan digantikan dengan rekaan yang baru secara keseluruhan ataupun biasanya dipanggil all new model. Namun bagi estima generasi ketiga, oleh kerana rekaan yang tidak luput masa ataupun timeless dalam bahasa Inggeris, model ini tetap mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar Jepun walaupun hanya melakukan facelift sahaja. Jadi maknanya, bagi peminat MPV ini, bukan sahaja kecantikan luaran yang memikat mereka, malah rekaan ruang dalaman simple dan luas juga menjadi daya menarik.
Walaubagaimanapun, disebalik masih mempunyai populariti yang tinggi, Toyota telah mengambil keputusan untuk menamatkan pengeluaran model Estima generasi ketiga kerana ianya sudah terlalu lama, iaitu 13 tahun di pasaran dan generasi keempat Estima sudah pada peringkat akhir untuk proses pengeluaran. Adakah generasi keempat Estima mempunyai lebih wow berbanding dengan generasi ketiga? Estima generasi baru dikatakan akan mengadaptasi model konsep FCR, singkatan untuk Fine Comfort Ride atau pemanduan selesa dan terbaik. Ianya dipertontonkan kepada umum pada pameran motor antarabangsa Tokyo pada tahun 2017.
Ia dikatakan akan menggunakan enjin dynamic force 2.5liter baharu seperti yang digunakan oleh model Camry yang terbaru menggantikan enjin 2.4liter yang digunapakai ketika ini. Selain varian petrol, varian lebih mesra alam sekitar seperti Hibrid, PHEV dan juga FCV (Fuel cell vehicle) juga akan dikeluarkan. Toyota merupakan antara syarikat yang terkehadapan dalam aspek perlindungan alam sekitar dengan inovasi produk dan powertrain yang lebih mesra alam sekitar demi menangani masalah pemanasan global yang semakin serius. Anda pula bagaimana? Sudah dapat ilham untuk mereka sesuatu? Jika anda sukakan artikel ini klik like dan kongsikan dengan rakan yang lain.