Harga kereta adalah berbeza di setiap negara di dunia. Banyak faktor yang menyebabkan perbezaan harga tersebut kerana pastinya setiap negara mempunyai sistem cukai yang berbeza, insentif pemasangan tempatan, insentif kereta jimat tenaga, faktor kos modal dan banyak lagi. Selalu kita dengar yang harga kereta di Malaysia antara yang termahal di dunia sejak sekian lama. Benarkah apa yang kita dengar ini? Dalam hantaran kali ini mari kita lihat perbandingan harga Malaysia dan negara ASEAN. Model yang dipilih adalah Toyota Corolla Altis kerana ia dijual di seluruh negara ASEAN. Kali ini kita kecualikan Kemboja kerana admin tidak jumpa harga Corolla Altis di sana, cuma yang ada adalah harga sewa beli sahaja.
Sebelum itu, model Toyota Corolla Altis ini adalah antara model paling berjaya dalam keluarga barisan produk Toyota dan telah terjual melebihi 44 juta unit di seluruh dunia sejak nama Corolla mula diperkenalkan pada tahun 1966. Kini Corolla telah memasuki generasi ke 12, memasuki pasaran dengan rekaan lebih menarik dan menggunakan teknologi platform termaju Toyota New Global Architecture (TNGA). Di Malaysia, Toyota menawarkan Corolla Altis dengan enjin 1.8liter dual VVTi dan transmisi CVT dengan 7 kelajuan. Corolla merupakan simbol ketinggian teknologi Toyota dan seimbang dari semua segi. OK, tanpa membuang masa, mari kita lihat perbandingan harga jualan model ini di negara-negara ASEAN dan juga harga di negara Jepun sebagai rujukan.
Graf di atas menunjukkan harga model Corolla Altis mengikut negara ASEAN dalam ringgit Malaysia setelah ditukar mengikut kadar pertukaran matawang semasa. Warna oren mewakili harga tertinggi dan warna biru mewakili harga terendah dan ia juga bergantung kepada varian yang ditawarkan di setiap negara. Contohnya varian asas dengan transmisi manual adalah lebih rendah harganya. Kita lihat di mana harga di Malaysia tidaklah setinggi seperti yang sering dikatakan “antara termahal di dunia”. Malah untuk harga varian tertinggi, negara-negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, Vietnam, Laos dan Myanmar adalah lebih tinggi lagi. Harga yang tertinggi adalah di Singapura dengan varian tertinggi mencecah sehingga RM300 ribu apabila harga dalam dolar Singapura ditukar kepada ringgit Malaysia. Harga terendah adalah di negara Filipina dan sebagai rujukan, Jepun mempunyai harga yang lebih kurang dengan Malaysia.
Jika kita lihat, harga sebuah Corolla Altis di Singapura adalah sangat tinggi namun Singapura adalah negara yang mempunyai purata pendapatan yang tinggi. Di rantau ASEAN, Singapura mempunyai kadar KDNK perkapita tertinggi mengatasi negara-negara ASEAN yang lain. Jadi secara relatifnya, harga setinggi itu masih lagi mampu dimiliki oleh rakyat di sana. Begitu juga negara yang mempunyai KDNK perkapita yang rendah akan menghadapi kesukaran untuk memiliki kereta walaupun harga jualannya tidak terlalu tinggi.
Banyak faktor perlu di ambil kira untuk kita menentukan samada harga kereta murah atau mahal di sesebuah negara. Di negara maju misalnya, walaupun harga jualan kereta itu nampak lebih rendah berbanding negara lain, sebenarnya mereka mempunyai kos pemilikan yang lebih mahal. Contohnya di Jepun pelbagai jenis cukai dan insuran perlu di ambil oleh pemilik kereta selain pemeriksaan wajib kenderaan setiap 2 tahun pemilikan yang mencecah kos ribuan ringgit. Kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Like jika anda suka artikel ini dan kongsikan.