Negara Jepun seperti yang kita ketahui telah banyak mempengaruhi corak dunia automotif bukan sahaja di negara kita malah hampir di seluruh dunia. Siapa yang tidak kenal dengan jenama-jenama pengeluar kereta terkenal seperti Toyota, Nissan, Honda, Mitsubishi, Subaru, Suzuki dan lain-lain lagi. Jenama dari Jepun terkenal dengan ketahanan enjin, penjimatan bahan api, rekabentuk yang menarik, mesra pengguna dan juga harga jual semula yang tinggi menyebabkan ia sudah sinonim dengan isi rumah di negara kita. Pelbagai jenis rekabentuk kereta telah direka oleh pereka-pereka dan jurutera-jurutera Jepun. Istilah seperti one box car merujuk kepada kereta ringan seperti Daihatsu Mira atau dikenali sebagai kancil di negara kita, Daihatsu Move/Perodua Kenari sebagai contoh dan juga istilah 3 box car yang mana merujuk kepada rekabentuk sedan yang mempunyai hood hadapan, ruang penumpang dan juga ruang simpanan belakang. Model sedan biasanya mempunyai model derivative seperti hatch/aeroback/sportsback dan juga station wagon atau dengan kata lain model sedan adalah donor car atau penderma kepada model station wagon. OK sekarang nama station wagon telah kita sebut dan tahukah anda rekabentuk station wagon inilah yang dikatakan sudah hampir pupus di Jepun? Kenapa? Mari kita baca lebih lanjut.
Pada permulaan tahun 90an, rekabentuk station wagon atau dikenali sebagai estate di sesetengah negara seperti Amerika dan Eropah, sangat popular di Jepun sehingga semua pengeluar-pengeluar kereta di Jepun mempunyai model station wagon mereka sendiri. Bila ada sedan adalah saudara station wagon. Mengapa ianya begitu popular sampaikan Lancer Evo pun ada model station wagon? Station wagon menggunakan chassis atau kerangka lantai yang sama dengan model sedannya dan ini membolehkan ianya juga mempunyai pemanduan selesa seperti model sedan. Kelebihannya adalah pada bahagian belakangnya di mana ruang berkaca yang bersambung dengan panel bumbung memberikan ruang kargo yang lebih besar berbanding dengan model sedan. Ini memudahkan penyimpanan barang terutamanya jika melakukan perjalanan balik kampung, bercuti mahupun pergi berkelah. Model juga popular di kalangan syarikat-syarikat pembekal barangan kerana ia boleh membawa barang yang banyak.
Kalau begitu popular, kenapa ianya hampir pupus? Ceritanya begini, apabila pereka-pereka kereta Jepun mula membangunkan rekabentuk kereta yang baru, salah satu yang menjadi mangsa adalah model station wagon. Bermula abad ke 20, pada tahun 2000, Honda telah mula memasarkan model Stream. Honda stream merupakan satu kategori baru dipanggil minivan atau mini mpv. Di sinilah bermulanya era kejatuhan model station wagon kerana minivan seperti Stream mempunyai kelebihan membawa lebih penumpang 6-7 orang berbanding sedan yang cuma 5 orang dan masih mengekalkan gaya dan tahap keselesaan lebih kurang sama dengan model sedan. Bumbungnya yang tinggi juga memberikan lebih kelegaan dan keluasan ruang serta susunan kerusi yang fleksibel membolehkan ianya ditukar kepada pembawa muatan barang yang banyak.
Tidak lama selepas itu pada penghujung tahun 2002, Toyota pula melancarkan model minivan mereka iaitu model Wish. Ya apabila abang besar dah keluarkan modelnya, terus ia menjadi bestseller atau goreng pisang panas di seluruh Jepun dan hingga hari ni, masih banyak lagi Wish keluaran model pertama yang bergerak di atas jalan raya kita yang telah dijual oleh syarikat kereta recond mahupun UMW Toyota sendiri selaku pemegang lesen rasmi pengedaran kereta baru Toyota di negara kita. Wish muncul dengan rekabentuk lebih padu, body yang lebih sasa dan iklan yang dibantu oleh populariti penyanyi terkenal Jepun pada waktu itu iaitu Utada Hikaru.
Jadi inilah sebab terbesar mengapa rekabentuk badan model station wagon semakin pupus di pasaran Jepun. Yalah siapa yang nak pakai wagon kalau ada pilihan yang lebih baik? Namun masih ada lagi pengeluar yang masih mengeluarkan model station wagon di Jepun bukannya tiada langsung. Contohnya syarikat Toyota dengan model Corolla Fielder dan Subaru yang mengeluarkan model LeVorg. Model Corolla Fielder mungkin model biasa sahaja dan ianya tidak dijual secara rasmi di negara kita, tetapi Subaru Levorg adalah antara model beprestasi tinggi dengan bernadikan enjin berpengecas turbo.
Namun begitu, walaupun banyak pengeluar-pengeluar kereta Jepun sudah tidak mengeluarkan rekabentuk station wagon lagi, statistik jualan model import di negara Jepun menunjukkan banyak model wagon dari pengeluar Jerman seperti Mercedes, BMW dan Volkswagen telah dijual. Mengapa ya? Pelik juga kalau difikirkan. Jika kita lihat semula, model-model station wagon di Eropah masih lagi diminati ramai dan pengeluar Jepun sendiri mempunyai model station wagon yang khusus untuk pasaran Eropah. Soalan, mengapa di Eropah terutamanya Jerman masih lagi menyukai model station wagon ini? Teruskan bacaan untuk mengetahui sebabnya.
Berbalik pada masa dahulu, dikatakan banyak negara yang tidak meletakkan had laju pada lebuhraya mereka. Atas sebab keselamatan, banyak negara yang sudah mula mengenakan had laju pada lebuhraya mereka dengan kelajuan sekitar 110km/h hingga 130km/h. Negara Jerman pula adalah satu-satunya negara yang mempunya lebuhraya yang tidak mempunyai had laju (pada kawasan tertentu) dan ia juga terkenal di seluruh dunia kerana sebab itu. Lebuhraya itu adalah lebuhraya Autobahn. Untuk sesebuah kereta bergerak pada kelajuan tinggi seperit 200km/h, banyak aspek teknikal yang perlu diambil kira kerana ia akan melibatkan keselamatan dan juga keselesaan pemanduan. Untuk itu, sesebuah kereta itu perlulah mempunyai titik graviti yang rendah untuk lebih pemanduan lebih stabil dan mengurangkan kesan angin lintang di lebuhraya. Juga menggunakan tayar jenis run flat untuk keselamatan jika tayar mengalami kebocoran pada kelajuan tinggi. Enjin juga memerlukan kuasa yang hebat seperti enjin dengan kebuk 6 silinder untuk mengekalkan kuasa pecutan pada tahap yang tetap di lebuhraya. Sebab ini juga ciri-ciri seperti ini adalah standard pada kereta buatan Jerman. Model wagon pula pada masa yang sama boleh membawa muatan yang lebih. Orang Jerman suka memandu kereta dalam jarak yang jauh, dengan kelajuan tinggi tanpa memikirkan soal muatan dan sebab inilah wagon masih popular di sana. Jadi, kalau di Jepun had lebuhraya pun cuma 130km/h, kereta dengan spesifikasi seperti wagon di Jerman tidak lagi diperlukan. Kebanyakan MPV juga mempunyai titik graviti yang tinggi dan tidak sesuai untuk dibawa laju melebihi had laju yang ditetapkan. Inilah sebabnya mengapa model wagon semakin hampir pupus di Jepun dan sebaliknya pula di Eropah. Jika anda sukakan artikel ini, like dan kongsikan dengan rakan-rakan yang lain.