Syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Jepun, Toyota Motor Corporation (TMC) telah melancarkan model Vellfire dan Alphard yang dipertingkat di pasaran domestik Jepun. Model MPV saiz besar yang sangat popular itu kini dijual dengan tambahan versi “Type Gold”. Model Vellfire dan Alphard adalah model yang secara asasnya sama, cuma dibezakan dengan kosmetik tertentu bertujuan untuk menarik golongan pembeli tertentu. Vellfire yang direka lebih agresif adalah bertujuan untuk menarik minat pembeli muda dan Alphard yang lebih cool ditujukan untuk golongan yang lebih berumur ataupun elit. Dalam strategi bisnes Toyota, banyak kita lihat model dengan varian kembar ataupun kita panggil sister model dan ternyata strategi itu telah berjaya.
Berasaskan varian Z G edition yang diperkenalkan pada tahun 2017, varian Z “Golden Eyes” dilengkapi dengan lampu hadapan berkemasan warna emas dan kesan “smoke’ untuk menambahkan imej “hidup”. Selain itu, hood molding, grill hadapan dan perumah lampu kabus menerima kemasan hitam jet. Rimnya bersaiz 18 inci dengan saduran berkecerahan tinggi. Bahagian belakangnya mendapat sentuhan warna saduran jet black untuk backdoor garnish dan rear lamp garnish.
Bahagian dalamannya pula kali ini dengan warna all black pada keseluruhan bahagian tiang, steering berekabentuk 4 jejari dengan dibaluti kulit asli dan berkemasan logam kayu. Kotak konsol tengah juga mempunyai kemasan logam beserta corak logam kayu di bahagian tengahnya. Tempat duduk pula dari kulit sintetik dengan berlubang halus di bahagian tengah dan adalah direka mengikut jenama Ultrasuede.
TOYOTA ALPHARD S “TYPE GOLD”
Seperti yang diberitahu dipermulaan hantaran ini, kembar model Vellfire iaitu Alphard juga diberi sentuhan yang serupa tetapi dengan nama yang berbeza iaitu versi S “Type Gold”. Model Alphard lebih bersifat cool dengan gril hadapan berbentuk ‘V” berbanding Vellfire yang berbentuk X.
Walaupun dinamakan varian S “Type Gold”, tidak seperti model Vellfire, ia tidak diberikan lampu hadapan bersadur keemasan, sebaliknya menggunakan gaya latarbelakang hitam dan saduran berwarna “smoke”. Bahagian grill hadapannya diberikan sentuhan warna saduran “smoke” dan juga hitam metalik. Perumah untuk lampu kabus LED juga diberikan kemasan saduran “smoke”. Rimnya menggunakan saiz 18 inci dengan saduran dan emblem nya diberikan warna keemasan berbanding warna perak sebelum ini.
Bahagian dalamannya juga lebih kurang sama dengan Vellfire Z “Golden Eyes” di mana skema warna untuk tempat duduk sedikit berbeza dengan warna kecoklatan berbanding kebiruan pada model Vellfire. Orang kata lebih mature atau lebih dewasa untuk skema warna model Alphard. Betul ke? Hanya Toyota yang boleh jawab. Adakah model baru ini akan di bawa masuk oleh UMW Toyota secara rasmi? Jika kita lihat pada keadaan ekonomi sekarang, mungkin tidak. Jadi, tunggulah model recond masuk selepas 2 tahun dari pelancarannya di Jepun.