MPV popular Jepun, Toyota Estima generasi ke 3 telah pun dihentikan pengeluarannya pada hujung tahun 2019 setelah 13 tahun berada dalam pasaran. Ianya mula dilancarkan pada tahun 2006. Ia menandakan model generasi ke 4 akan dilancarkan pada waktu terdekat, namun sehingga waktu ini, Toyota masih lagi berahsia tentang model gantian Estima ini. Walaubagaimana pun, beberapa laman web Jepun sudah mula membuat liputan berkenaan rekaan model gantian Estima yang mereka jangka akan dilancarkan dalam tahun ini juga.
Model Estima mula popular di negara kita bermula pada model generasi ke 2. Kekuatan pada model Estima ini adalah kerana rekaan yang menarik, ruang dalaman yang luas dan juga enjin yang sesuai. Saiznya juga tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil membuatkan ianya mudah dikendalikan pada waktu yang sama mempunyai ruang kabin yang luas. Seterusnya pada tahun 2006, model generasi ke 3 dilancarkan dengan dengan rekaan lebih menarik dan innovatif untuk memaksimumkan ruang. Model ini pada awalnya mula diimport ke negara kita oleh pemegang AP sebelum UMW Toyota membawa masuk secara rasmi dengan nama Previa. Namun begitu, disebabkan kekangan cukai yang tinggi, harga jual model Previa menjadi lebih tinggi dan spesifikasi yang lebih rendah berbanding Estima recond, Previa tidak begitu berjaya di pasaran dan telah ditamatkan jualan oleh pihak UMW Toyota. Walaupun pemegang lesen import kereta baharu mereka kerugian, namun bagi Toyota Motor Corporation (TMC), ianya masih dikira sebagai situasi ‘menang-menang’ kerana kereta terpakai mereka mempunyai permintaan yang tinggi di luar negara seterusnya mengekalkan harga kereta terpakai yang tinggi. Jadi bagaimana rupa Estima generasi baharu yang digambarkan oleh media?
MPV popular Jepun direka berdasarkan konsep teluar ayam? Baca artikel di [SINI]
Menurut laman web popular Jepun [BESTCARWEB], mereka telah mengeluarkan lakaran mengikut andaian mereka bagaimana rekabentuk model Estima baharu. Jika merujuk gambar lakaran di atas, Estima baharu masih mengekalkan rekabentuk sedia ada dengan tambahan character line yang lebih menarik. Lampu hadapan menggunakan rekaan seperti model Corolla Altis dengan LED guide. Lampu belakang pula kali ini direka menegak berbanding model sekarang yang mempunyai lampu belakang melintang. Front pillar juga diubah menjadi double type dengan corner glass yang lebih besar untuk memberikan lebih ruang dan mengurangkan titik buta pada pemandu. Selain itu, bahagian quarter panel atau bahagian luaran untuk barisan tempat duduk ke 3 direka dengan garisan side panel profile menaik untuk memberikan kesan yang lebih dinamik. Ini adalah beberapa aspek perbezaan dari rekaan luaran berdasarkan gambar lakaran ini.
Estima generasi baru dikatakan akan mengadaptasi model konsep FCR, singkatan untuk Fine Comfort Ride atau pemanduan selesa dan terbaik. Ianya dipertontonkan kepada umum pada pameran motor antarabangsa Tokyo pada tahun 2017. Ia dikatakan akan menggunakan enjin dynamic force 2.5liter baharu seperti yang digunakan oleh model Camry yang terbaru menggantikan enjin 2.4liter yang digunapakai ketika ini. Selain varian petrol, varian lebih mesra alam sekitar seperti Hibrid, PHEV dan juga FCV (Fuel cell vehicle) juga akan dikeluarkan. Varian menggunakan enjin 3.5 liter juga akan ditamatkan. Model Estima ini hanya dikeluarkan di Kilang Toyota di Jepun sahaja. Yang nak beli Estima tu, boleh ke tunggu?