Bilakah kita perlu menukar minyak enjin kereta kita? Biasanya, pusat servis akan menulis tarikh dan mileage atau perbatuan untuk pertukaran minyak enjin seterusnya. Persoalannya di sini, yang mana satu kita nak ikut. Tarikh atau perbatuan? Biasanya kalau kereta kita selalu bergerak, perbatuan akan cepat meningkat dan bila sampai pada perbatuan untuk menukar minyak enjin, kita pun akan terus pergi pusat servis untuk menukar minyak enjin. Tapi, bagaimana pula kalau kereta yang jarang bergerak dan duduk dalam parking sahaja? Walapun mileage masih jauh tapi tarikh dah sampai adakah perlu tukar minyak enjin juga?
Menurut beberapa sumber, kebanyakan jawapan berkenaan persoalan ini adalah YA anda perlu menukar minyak enjin mengikut masa walaupun perbatuan anda belum lagi sampai. Dalam terma waranti juga selalunya menyatakan “Which ever come first” atau yang mana terdahulu. Bermaksud, jika anda mempunyai kereta baru, waranti anda mungkin boleh terbatal (sila rujuk pengeluar kenderaan anda untuk kepastian). Jadi mengapa kena tukar ikut masa walaupun belum atau jauh lagi nak capai perbatuan untuk pertukaran minyak enjin?
Enjin kereta selepas digunakan akan menyejuk dan kesan penyejukan di dalam enjin menghasilkan wap air. Wap air ini akan bercampur dengan minyak menyebabkan minyak teroksida dengan lebih cepat. Bagi kereta yang bergerak tidak sampai 5 kilometer dan dimatikan semula enjinnya, fenomena pengoksidaan minyak enjin akan lebih cepat berlaku kerana, wap-wap air tidak tersejat sepenuhnya kerana enjin tidak mencapai pemanasan optimum. Selain itu, bahan kimia tambahan atau additive yang digunakan dalam minyak enjin juga akan habis mengikut masa dan ini akan mengurangkan perlindugan kepada komponen enjin walaupun kereta jarang digunakan.