Ramai pemilik model MPV Toyota iaitu Estima siri50 (ACR50), Alphard & Vellfire siri20 (ANH20) yang mengalami minyak enjin berkurang walaupun tiada tanda-tanda kebocoran pada enjin mereka. Ketiga-tiga model MPV popular ini menggunakan enjin yang sama iaitu dari jenis 2AZ-FE berkapasiti 2.4 liter. Ramai yang berasa bimbang dan perlu kerap untuk melihat takat minyak enjin mereka. Minyak enjin ini amat penting untuk berada pada jumlah liter ditetapkan spesifikasi enjin dan apabila ianya berkurangan boleh menyebabkan kerosakan yang besar pada enjin.
Bukan hanya pengguna di Malaysia sahaja yang mengadu masalah minyak enjin kurang ini, pengguna di tempat kelahiran model-model itu pun mengalami masalah yang serupa. Ada pengguna Estima di Jepun membuat kajian sendiri untuk mengetahui berapa liter minyak enjin yang akan hilang selepas menukar minyak enjin yang baru. Amat mengejutkan, setelah kereta bergerak dalam 4000km, minyak yang hilang lebih kurang 1 liter setengah. Itu jumlah yang banyak memandangkan kereta bergerak dalam 4000km sahaja. Dalam satu kes lagi, sebuah Alphard dihantar untuk pemeriksaan wajib telah didapati kehilangan minyak enjin dalam 2 liter untuk perjalanan 2800 kilometer sahaja! Ini lebih amat mengejutkan! Jadi apakah yang menyebabkan minyak enjin hilang untuk model-model ini?
Dari kenyataan yang dikeluarkan oleh laman rasmi pihak Toyota di Jepun, memang enjin ini mempunyai masalah. Mengapa minyak enjin boleh berkurang adalah disebabkan pemanduan menggunakan brek enjin akibat lambat menekan brek sebelum memberhentikan kenderaan. Ini membuatkan dalam silinder dan kebuk pembakaran berkeadaan tekanan negatif yang tinggi menyebabkan minyak enjin disedut ke atas masuk ke kebuk pembakaran. Ini menyebabkan berlaku penggunaan minyak enjin yang tinggi. Walaubagaimanapun, perkara kehilangan minyak enjin ini tidak berlaku pada model Alphard siri10 (ANH10) yang juga menggunakan enjin yang sama. Kenapa begitu?
Mengikut sumber, selepas model Alphard siri10, Toyota telah meningkatkan nisbah mampatan enjin ini untuk menghasilkan kuasa kuda dan daya kilas yang lebih tinggi untuk pemasangan pada model-model yang bermasalah itu. Bila tekanan ditingkatkan, piston, piston ring dan oil nozzle dikatakan mengalami kehausan yang lebih cepat menyebabkan masalah ini berlaku. Sebab ini juga kereta-kereta yang dipanggil semula oleh Toyota untuk pemeriksaan akan digantikan komponen-komponen yang telah ditambah baik. Ini mungkin satu kesilapan dari pihak Toyota sendiri.
Tidak pasti unit recond yang dijual di Malaysia semua sempat atau tidak pemilik terdahulu menghantar kereta mereka untuk penukaran komponen tersebut. Mungkin tidak semuanya sempat kerana jumlah yang terlalu banyak. Sebab itu ada antara pemilik recond yang mengalami masalah kehilangan minyak hitam yang abnormal.
Mengikut sejarah, enjin 2AZ ini mula dihasilkan di Jepun dengan kod 2AZ- (X) di mana X adalah 1,2,3,A,B. Selepas itu ianya dihasilkan di negara China dengan kod 2AZ-(X), C,D,E,F,G. Kod dari negara China ini dikatakan mengalami masalah ini. Manakala batch yang ditambah baik bermula dari 2AZ-(X) H,I,J,K.
>>Nak pendapatan tanpa had dengan kerja yang sah di sisi undang2? Klik sini untuk info lanjut<<
Bagi pengguna-pengguna model-model yang terlibat, sentiasalah pantau takat minyak enjin anda bagi mengelakkan masalah lebih besar. Dapatkan khidmat nasihat pakar MPV dari Jepun ini untuk tindakan lanjut. Kongsikan artikel ini jika bermanfaat.
Update1: Seorang pembaca dan juga pengguna model ACR50 memaklumkan masalah kehilangan minyak enjin selesai selepas menggunakan minyak jenis mineral. Selama 7 tahun tiada masalah lagi. Boleh cuba kaedah ini.