Beberapa gambar Toyota Alphard dan Vellfire siri 40 baharu telah tersebar di media sosial ketika ini. Gambar yang tersebar ini berkemungkinan bocor dari kilang pengeluaran Toyota di Jepun. Apa pun kini teka teki telah terjawab berkenaan rekabentuk model terbaru Toyota Alphard dan Vellfire yang baru yang ditunggu-tunggu peminatnya. Rekabentuk hadapannya masih mengekalkan konsep rekaan gril hadapan yang besar berbentuk V seperti model sekarang. Rekaan corner glass juga nampak berbeza berbanding model sekarang kali ini dengan saiz yang lebih besar. Antara perubahan ketara juga ialah bentuk badan dengan garisan karektor yang kelihatan lebih lembut.
Bahagian belakang pula kali pertama meletakkan nama model di posisi tengah di bawah lambang Toyota. Kemasan garnish piano hitam pada tulisan nama model itu bersambung dengan dua lampu kombinasi belakang dan juga tempat letak nombor plat.
Bagi model Vellfire pula, rekaan gril hadapan berbentuk X menjadikan imej lebih garang dan lebih sporty berbanding Alphard. Lambang hadapan pula menggunakan lambang Toyota, menggantikan lambang berasaskan model yang digunapakai untuk model sekarang.
Dari bahagian belakang, berbanding Alphard, Vellfire mempunyai lampu belakang yang tajam yang bersambung dengan garnish berwarna piano hitam. Juga tulisan nama model diletakkan di tengah-tengah seperti model Alphard.
Belum ada info terperinci berkenaan dengan enjin yang akan digunakan namun khabar angin mengatakan Alphard akan menggunakan 2.5liter dengan teknologi hibrid manakala Vellfire dikuasakan dengan enjin 2.4liter dengan pengecas turbo.