Pameran Malaysia Autoshow 2023 sedang berlangsung di MAEPS Serdang bermula 4 Mei hingga 7 Mei ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Pelbagai jenama dari tempatan dan luar negara mengambil bahagian dalam pameran kali ini. Antaranya ialah Perodua, Proton, Toyota, Honda, Subaru, Nissan, Ford, Hyundai, Kia dan GWM. Juga disertai oleh Petronas.
Sedikit kesesakan berlaku di pintu masuk kawasan parkir kerana anda perlu membuat bayaran RM5 di gate kemasukan parkir namun tempat parkir adalah luas dan tidak jadi masalah. Ada bas pengantara untuk ke dewan pameran kerana lokasi parkir yang agak jauh. Boleh sahaja berjalan kaki untuk ke dewan pameran namun dengan cuaca panas sejak kebelakangan ini, lebih baik guna khidmat bas pengantara sahaja.
Cuaca boleh menjadi amat panas jika anda datang pada waktu tengahari dan pastikan anda membawa bekalan air kosong bagi mengurangkan kepanasan badan. Sebelah petang pula dijangka akan berlaku ribut petir jadi anda perlu merancang perjalanan anda lebih awal. Tiket masuk boleh dibeli di kaunter masuk dan juga secara dalam talian.
Ruang pameran Perodua antara yang menjadi tumpuan pada pameran kali ini bagi kategori pengeluar tempatan. Umum mengetahui kereta-kereta Perodua sangat mendapat sambutan rakyat Malaysia dimana pembeli perlu melalui waktu menunggu yang panjang. Jika anda merancang untuk membeli kenderaan Perodua, jangan lepas peluang ini untuk melihat keseluruhan barisan model Perodua di pameran ini.
Perodua Aruz yang dipamerkan dengan konsep adventure untuk peminat-peminat aktiviti outdoor seperti perkhemahan dan juga perkelahan. Antara model SUV pilihan utama rakyat Malaysia.
Perodua juga mempamerkan konsep kereta elektrik mereka dengan konsep Electric Motion Online atau EMO dimana integrasi kereta elektrik dengan pelbagai fungsi kawalan dalam talian. Perodua dijangka melancarkan model elektrik mereka pada tahun 2029.
Proton juga tidak kurang hebatnya dengan mempamerkan barisan model terkini mereka seperti X50, X70 dan juga model keluaran terhad X50 dengan talaan syarikat peningkatan prestasi R3. Juga Proton dijangka melancarkan model terbaru mereka yang SUV kelas besar X90 yang sudah dipreview baru-baru ini.
Antara ruang pameran yang mendapat sambutan juga adalah semestinya ruang pameran pengeluar dari Jepun. Toyota kali ini mempamerkan beberapa model termasuklah Vios baharu dan juga model prestasi dipertingkat GR Supra dan Corolla.
Honda Malaysia pula tampil dengan imej garang dimana semua kereta yang dipamerkan adalah dari model RS dengan warna merah. Ruang dalaman warna hitam juga menambah keeksklusifan model-model Honda di Pameran kali ini.
Nissan juga mempamerkan model-model terlaris mereka seperti Serena, X-Trail, Almera dan juga kereta elektrik mereka iaitu model Leaf. Manakala Subaru pula membawakan model prestasi Impreza WRX manual selain dari model utama mereka seperti Forester dan juga XV.
Bagi pengeluar Korea, Hyundai mempamerkan kereta elektrik terbaru mereka iaitu Ioniq 5, SUV elektrik Kona, MPV kelas besar Staria dan juga SUV kompak yang baru dilancarkan iaitu Hyundai Creta. Kia pula hadir dengan barisan model terkini mereka termasuklah model keret elektrik sporty EV6, SUV Sorento baharu dan juga Carnival baharu. Peminat kereta Korea jangan lepaskan peluang untuk ke Pameran kali ini.
Ford pula mempamerkan pelbagai model pick up mereka seperti model Ranger dengan pelbagi option untuk menjadi rujukan kepada bakal pembeli berpotensi.
Pengeluar dari China, Great Wall Motor mempamerkan barisan model mereka seperti pick up truck, Haval SUV, kereta elektrik Neta dan juga model kereta elektrik Ora Good Cat. Selain itu Cherry, satu jenama yang pernah hilang dari pasaran negara kita satu masa dahulu kini akan membuat come back dengan model baru mereka seperi SUV Omoda 5 yang mempunyai rekabentuk seakan-akan Lexus.
Tidak kurang menarik adalah di ruang pameran Petronas yang menampil kereta Formula 1 milik juara dunia 7 kali iaitu Lewis Hamilton, nombor kereta LH44. Bagi peminat formula 1, inilah peluang anda untuk melihat kereta F1 sebenar dari jarak dekat.
Apa pun banyak perkara menarik menanti anda di pameran Malaysia Autoshow 2023 dimana anda juga berpeluang untuk memenangi Perodua Alza baharu yang ditaja oleh Perodua. Selamat bertandang ke Maeps dan pastikan pandu dengan cermat.