Toyota, pengeluar kereta terbesar di dunia, masih ketinggalan dalam ranking jualan kereta elektrik penuh. Sebagai rujukan, Tesla menjual 1.5 juta unit kereta elektrik berada di ranking nombor 1, di mana Toyota cuma berada di ranking ke 28 dengan jualan sebanyak 20 ribu unit sahaja. Namun, adakah Toyota berdiam diri sahaja?
Toyota berpendapat kereta elektrik penuh masih belum lagi boleh menjadi pilihan aliran utama kerana masa mengecas yang lama dan juga kekurangan fasiliti mengecas di kebanyakan negara di dunia ini. Jadi untuk mengisi ruang kosong sebelum dunia beralih ke kereta elektrik sepenuhnya, mereka memilih untuk membangun dan memasarkan kereta dengan enjin hidrogen, yang juga dari kategori kosong perlepasan karbon. Toyota Mirai merupakan model dengan kuasa hidrogen yang sudah berada di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat.
Namun begitu, Toyota tetap giat menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan kereta elektrik mereka, di mana mereka sedang membangunkan bateri solid state yang boleh mencapai jarak lebih dari 1000km dengan sekali cas. Jika benar, ini adalah lebih praktikal di Malaysia kerana anda boleh pergi dengan jarak yang jauh tanpa perlu mengecas semula dengan kerap. Toyota berkata ia akan memasarkan model itu bermula tahun 2027. Mungkin pihak pemain utiliti negara boleh mempelbagaikan sumber tenaga bagi model-model kereta kosong perlepasan karbon seperti tenaga hidrogen solar dan sebagainya.